13 August 2011

Kes Tajuddin Ramli: GLC kecewa, dakwa penjelasan Nazri kelirukan

August 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kecewa dengan langkah Datuk Seri Nazri Aziz menjustifikasikan campur tangan Putrajaya dalam kes saman ke atas Tan Sri Tajuddin Ramli dan mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberi maklumat-maklumat yang mengelirukan.
Satu sumber rapat dengan beberapa pihak yang dinamakan dalam kes saman dan saman balas melibatkan bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS) menekankan bahawa Tajuddin telah kalah dalam kes saman RM13 bilion ke atas Danaharta pada 2009.
Beberapa dokumen yang diperoleh The Malaysian Insider menunjukan Hakim Anatham Kasinather telah menganugerahkan RM589,143,205.57 kepada Danaharta, dua subsidiarinya dan empat pengarah urusan iaitu Datuk Azman Yahya, Datuk Abdul Hamidy Hafiz, Datuk Zukri Samat dan Datuk Kris Azman Abdullah pada 7 Disember 2009.
Hakim yang juga telah menolak saman balas RM13 bilion dibawa oleh Tajuddin (gambar) ke atas Danaharta dan agensi-agensinya pada 12 November 2009.
Sumber-sumber berkata, GLC dan pengarah-pengarah mereka terkilan dengan alasan-alasan yang diketengahkan oleh Nazri bahawa penyelesaian di luar mahkamah merupakan langkah terbaik untuk menyelamatkan berbilion ringgit di pihak kerajaan akibat kes saman.
“Nazri telah mengelirukan orang ramai apabila beliau berkata jumlah tuntutan oleh syarikat-syarikat ini ke atas Tajuddin hanya setengah bilion ringgit.
“Itu sebab saya berkata kita perlu duduk dan berbincang,” kata sumber itu.
Sumber itu juga menambah, dakwaan bahawa Tajuddin ada kuasa tawar-menawar dan GLC berada di kedudukan tidak memihak adalah sesuatu yang mengarut.
“Tajuddin yang berhutang dan Danaharta tidak berhutang apa-apa,” kata sumber itu sambil menambah, “jadi kalau begitu apa yang perlu dirundingkan?”
Semalam, Nazri memberitahu The Malaysian Insider, beliau telah menulis kepada kesemua GLC yang terbabit awal bulan ini agar menarik balik kes saman masing-masing bernilai RM2 bilion, mengambil masa untuk mencapai perjanjian “menang-menang” dan mengakhiri saga kewangan berpanjangan melibatkan Tajuddin, orang kepercayaan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Nazri juga berkata, Tajuddin yang mempertahankan dirinya, ekoran kes saman dibawa MAS ke atas beliau disebabkan kerugian RM8 bilion dialami syarikat penerbangan nasional itu, telah membawa kes saman balas RM13 bilion.
“Jumlah tuntutan kami dibuat oleh syarikat-syarikat (GLC) ke atas Tajuddin hanya setengah bilion ringgit. Itu sebab kita kata kita perlu duduk dan berbincang,” kata beliau.
Dalam kenyataan petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu, pihaknya mahu mencari penyelesaian positif dan tidak harus dianggap sebagai penyelesaian luar mahkamah.

MI

No comments: